Kari Ikan Tanpa Santan 2.0 . Kari mamak!

 KARI IKAN TANPA SANTAN 2.0 ( KARI MAMAK)


Siapa tak rindukan keenakan  nasi kandaq penang mari. Kuah kari  pekat dan likat  sampai melekat bau kari walaupun  sudah sabun serta cuci tangan. Musim pandemik,mesti ramai sudah cuba pelbagai jenis resepi. Mungkin ada yang diantara kita sudah hebat di dapur. Pejam mata pun dah boleh siap. Apa kata cuba resepi  kari mamak aka Kari Ikan Tanpa Santan 2.0 ini. Tiada banyak perbezaan dengan kari mamak yang pernah Che Nad post sebelum ini. ( Sila rujuk Kari Ikan Tanpa Santan).

Teknik dan cara penyediaan masih sama, cuma ada penambahan bahan iaitu  ketumbar. Masak kari menggunakan daun ketumbar ini, Che Nad belajar dari jiran sebelah rumah, Mendiang Aunty Mary. Bau rempah tumisan selalu singgah ke rumah sehingga mak merisik jiran tanya tips nak bagi kari ikan lagi sedap. 

Serbuk rempah kari yang Che Nad guna masih sama iaitu serbuk rempah yang dibeli di Kedai Rempah Ali, Market Kepala Batas @ Market Permatang Manggis, Penang. Lepas ini , Insha Allah mungkin nak try open order rempah mamak dari kedai ini. Kalau nak guna serbuk kari jenama lain pun boleh. Terpulang kepada citarasa masing-masing.


Bahan- Bahan

600 gram         Ikan Nyoq-nyoq
5 ulas               Bawang merah
1 biji                Bawang besar
7 ulas               Bawang putih
1 sudu makan  Halba campur
1 pokok            Ketumbar
3 tangkai          Daun kari
1/3 cawan        Minyak masak
6 sudu makan  Serbuk rempah kari ikan
3 sudu makan  Asam jawa (Segenggam asam yang ada biji) + campur dengan 1 cawan air
1 pokok           Daun bawang
1 biji               Tomato
5-7 biji            Bendi
3 biji               Cili hijau
Air
Garam


Cara Penyediaan



Ikan disiang dan dicuci bersih dengan asam jawa atau limau.

Kupas bawang besar, bawang merah, bawang putih dan ambil akar dan akar daun ketumbar. Daun ketumbar kita akan guna untuk tabur dihujung penyediaan nanti.


Tumbuk kasar bawang merah, bawang putih, akar dan batang ketumbar .


Bawang besar dihiris nipis.



Panaskan minyak dan tumis bahan ditumbuk , bawang besar , halba campur dan 
daun kari sehingga garing. Sentiasa kacau untuk elakkan bahan tidak sekata masak serta hangus.





Apabila bahan tumisan telah garing. Masukkan 5 sudu makan serbuk rempah kari ikan dan juga air. Kacau sebati.


Kacau sebati dan masak sehingga pecah minyak. Pecah minyak terhasil apabila minyak tumisan naik dipermukaan dan di antara bahan tumisan.



Masukkan air asam jawa ( Rujuk cara Membuat Air Asam Jawa Untuk Masakan) dan juga perasakan dengan garam. Tambah air. Tips untuk pastikan kari kita tidak cair ,selepas letak air asam jawa, lihat kerak  kesan tumisan di dalam dinding periuk, pastikan air sama paras dengan kerak itu.


Setelah itu, biarkan kuah kari mendidih.






Apabila kuah kari telah mendidih, masukkan bendi, ikan, tomato yang dibelah 4 beserta 
 daun ketumbar dan daun bawang. 



Didihkan sekali lagi sehingga ikan masak. Tempoh memasak jangan terlalu lama kerana
 ikan akan  hancur.



Tutup api dan masukkan cili hijau. Sedia untuk dihidangkan.

Nota/Tips:
  1. Untuk mengelakkan ikan menjadi hancur.Jangan masak terlalu lama.
  2. Gunakan asam jawa yang mempunyai biji. Asam jawa jenis ini tidak terlalu masam.
  3. Anda juga boleh menggunakan ikan lain selain dari ikan nyoq-nyoq seperti Ikan   Bawal/Merah/Jenahak/Kembong dan lain-lain.
  4. Kari Ikan ini akan menjadi pekat dan sedap jika disediakan sehari awal.

Kari Ikan tanpa santan ini sedap dimakan bersama
Nasi putih
Roti 
Roti Canai 


Comments

Popular posts from this blog

Sambal Belacan Limau Nipis

Ayam Masak Kicap

Resepi Ayam Goreng Berempah Berserdak!